Ruang Bacaan





Panduan Solat Qasar Dan Jama'


Penerangan solat qasar dan jama’ adalah seperti berikut:

1.0 Solat Qasar

1.1 Takrifan

Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.

1.2 Hukum Qasar

Harus berdasarkan kepada dalil berikut:

i.Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;

“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”

ii. Al-Sunnah yang bermaksud;

Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab,
“Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?”
Lalu beliau menjawab, Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda,
"Solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya”
(Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

1.3 Jarak Dibenarkan Qasar

Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

1.4 Syarat Solat Qasar

i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.

ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer/56 batu).
iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

1.5 Contoh Niat

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala)



2.0 Solat Jama'

2.1 Takrifan

Solat Jama’ terbahagi kepada :

i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu
Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.

ii.Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu
Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

2.2 Syarat Solat Jama’

2.2.1.Solat Jama’ Taqdim

i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur
daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii.Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam
tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii.Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat
yang kedua.
v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib)
berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).

2.2.2. Solat Jama’ Ta’khir

i.Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.

2.3 Contoh Niat

2.3.1 Jama’ Taqdim

i.Jama’ Taqdim Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan
kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

ii.Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan
kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

2.3.2 Jama’ Ta’khir

i.Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan
kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

ii. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan
kepada Asar tunai kerana Allah Taala)


--------------------------------------------------------------------------------


HIMPUNAN DOA DOA


1. DOA SUPAYA BEROLEH ILMU YANG BERMANFAAT

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tidak pernah kenyang, dan dari doa yang tidak diperkenankan.”


2. DOA DIBERI SYAKSIAH YANG BAIK

Ya Allah, berilah aku kekayaan ilmu, hiasilah aku dengan sifat lambat marah dan pemaaf, muliakanlah aku dengan ketakwaan dan indahkanlah pula aku dengan kesihatan (tubuh badan)”

3. DOA DIJAUHKAN DARI SIFAT MALAS, BAKHIL DAN PENGECUT

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU dari duka nestapa, pengecut, bakhil, lemah, malas, hutang dan aniaya.”


4. DOA MEMOHON DARJAT DAN KEDUDUKAN YANG MULIA

“Ya Allah, sesungguhnya aku seorang yang lemah, justeru itu kuatkanlah aku; aku seorang yang hina, justeru itu muliakanlah aku; aku seorang yang fakir, justeru itu kayakanlah aku, wahai Yang Paling Pengasih di antara yang pengasih.”


5. DOA MEMOHON HIDUP BAHAGIA

“Ya Allah, aku memohon kemenangan dalam pengadilan dan beroleh kedudukan para syuhada, kehidupan orang-orang yang bahagia, serta mampu mengatasi musuh.”


6. DOA DIJAUHKAN DARI PERANGAI BURUK

“Ya Allah, aku berlindung kepada-MU dari kemunafikan, perangai buruk dan rezeki yang sempit.”


7. DOA MENGUATKAN IMAN

“Ya Allah, anugerahilah aku keimanan yang benar dan keyakinan yang tidak diikuti kekufuran; kurniakanlah kepada daku rahmat mendapatkan kemuliaan dari kemuliaan-MU di dunia dan di akhirat.”


8. DOA MEMOHON AKHLAK YANG TERPUJI

“Ya Allah, tunjukilah aku kepada akhlak yang terbaik, kerana tidak ada yang dapat menunjuki ke arah demikian melainkan Engkau. Dan jauhilah aku dari akhlak yang buruk, kerana tiada yang dapat menunjuki ke arah demikian, melainkan Engkau (juga).


9. DOA DIMUDAHKAN SEGALA URUSAN

“Ya Allah, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah; dan Engkaulah yang menjadikan dukacita itu menjadi mudah jika Engkau menghendakinya.”


10. DOA MENSYUKURI NIKMAT DAN MINTA KESOLEHAN

“Oh Tuhanku, limpahkanlah kepadaku kesyukuran akan nikmat-MU yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku, hingga aku beramal salih sebagaimana Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat dan kasih sayang-MU ke dalam golongan para hamba-MU yang soleh.”

--------------------------------------------------------------------------------

SURAH YASIN

1. Di mana Ia diturunkan


Daripada Ibnu Abbas ra katanya:

"Telah diturunkan surah Yasin di Mekah"


Dari `Aisyah ra katanya :

"Diturunkan surah Yasin di Mekah"


2. Yasin adalah hati Al-Quran


Daripada Anas ra katanya Rasulullah SAW tekah bersabda:

"Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati dan hati Al-Quran itu adalah Yasin, sesiapa yang membaca Yasin, Allah Taala akan menulis untuknya ganjaran membaca Al-Quran sebanyak sepuluh kali"

(Dikeluarkan oleh al-Darimi, al-Turmuzi dan al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman)


Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati dan hati Al-Quran itu adalah Yasin"

(Dikeluarkan oleh al-Bazzar)


3. Yasin Termasuk Penyebab Keampunan

Daripada Abu Hurairah ra, daripada Nabi SAW:

"Sesiapa yang membaca Yasin pada waktu malam demi mencari keredhaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkannya pada malam tersebut"

(Dikeluarkan oleh al-Darimi, Abu Ya`la, al-Thabrani dalam al-Awsad, Ibnu Mardawih dan al-Baihaqi dalam Syu`ab al-Iman)


Dari Jundub bin Abdullah ra katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesiapa yang membaca Yasin pada waktu malam demi mendapatkan keredhaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkannya"

(Dikeluarkan oleh Ibnu Hibban)


4. Yasin Menyamai Satu Al-Quran

Daripada al-Hasan ra katanya:

"Sesiapa yang membaca Yasin pada waktu malam demi mencari keredhaan Allah nescaya Allah akan mengampunkannya. Katanya: Telah sampai kepada ku bahawa ia menyamai Al-Quran keseluruhannya"

(Dikeluarkan oleh al-Darimi)


5. Bacalah Yasin Terhadap Orang Yang Hampir Mati

Daripada Ma`qal bin Yasar ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

"Yasin dalah hati Al-Quran, tidak ada seorang hamba yang membacanya yang mahu mendapatkan keredhaan Allah dan ganjaran pada hari akhirat melainkan Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu, maka bacakanlah ia untuk orang yang hampir mati di kalangan kamu"

(Dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie, Ibnu Majah, Muhammad bin Nasr, Ibnu Hibban, al-Thabran, al-Hakim, dan al-Baihaqi di dalam Syu`ab al-Iman)


6. Faedah-Faedah Yasin

Dikeluarkan oleh Sa`id bin Mansur dan al-Baihaqi daripada Hassan bin Athiyah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

"Surah Yasin disebut di dalam Taurat sebagai al-Mu`immah (yang menyelubungi), ia menyelubungi orang yang membacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat menjauhi daripadanya segala bala dunia dan akhirat, dan melepaskannya daripada kesusahan dunia dan akhirat. Ia juga dipanggil al-Mudafi`ah al-Qhadhiyah (yang membela lagi memenuhi). Ia menjauhi pembacanya daripada setiap kejahatan dan memenuhi setiap keperluan. Sesiapa yang membacanya dia memperolehi pahala menyamai dua puluh kali haji, sesiapa yang mendengarnya memperolehi pahala seribu dinar fi sabilillah, seribu cahaya, seribu keyakinan, seribu keberkata, seribu rahmat dan ditanggalkan daripadanya semua penyakit dan sakit hati"

Al-Baihaqi berkata: "Ia hanya diriwatkan oleh Muhammad bin Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Jad`ani daripada Sulaiman bin Mirqa'al-Jundi yang merupakan seorang perawi yang mungkar"

Dikeluarkan oleh al-Khatib daripada hadis Anas sama seperti ini.


7. Yasin Menyamai Al-Quran Sebanyak Dua Kali

Dikeluarkan oleh Ibnu Mardawaih dan al-Baihaqi daripada Abu Uthman al-Nahdi kata Abu Hurairah:

"Sesiapa yang membaca surah Yasin satu kali maka seolah-olah dia membaca Al-Quran sepuluh kali"

Abu Sa'id berkata:

"Sesiapa yang membaca Yasin satu kali maka seolah-olah dia membaca Al-Quran dua kali"

Abu Hurairah berkata:

"Kamu berkata dengan apa yang kamu dengar dan saya berkata dengan apa yang saya telah dengar"


8. Keagunan Surah Yasin

Dikeluarkan oleh al-Bazzar daripada Ibnu Abbas katanya, Nabi SAW bersabda:

"Saya berkeinginan jika ia berada pada hati setiap manusia dari kalangan umatku iaitu Yasin"


9. Fadhilat-Fadhilat Yasin

Dikeluarkan oleh al-Thabrani dan Ibnu Mardawaih dengan sanad dhaif daripada Anas katanya, Rasulullah telah bersabda:

"Sesiapa yang berterusan membaca Yasin setiap malam kemudian meninggal dunia maka dia telah mati syahid"


10. Yasin Penyebab Terlaksananya Hajat

Dikeluarkan oleh al-Darimi daripada 'Atho' bin Abu Rabah katanny, telah sampai kepadaku bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesiapa yang membaca Yasin pada waktu tengahari nescaya akan dipenuhi segala hajatnya"


11. Bacalah Yasin Waktu Malam dan Siang

Dikeluarkan oleh al-Darimi daripada Ibnu Abbas katanya:

"Sesiapa yang membaca Yasin pada waktu pagi akan diberikan kemudahan pada hari tersebut sehinggalah waktu petang, sesiapa yang membacanya pada permulaan malam nescaya akan diberikan kemudahan kepadanya sehingga waktu pagi"


12. Yasin Meringankan Siksa Orang Mati

Dikeluarkan oleh Ibnu Mardawaih dan al-Dailami daripada Abu al-Darda' daripada Nabi SAW bersabda:

"Tidak ada orang mati yang dibacakan di sisinya surah Yasin melainkan Allah akan meringankan azabnya"

Popular posts from this blog

Telekung Cotton Hitam

Telekung Lycra Kain Batik